Sama ada ingin mengekalkan kehadiran tanah atau mahu dilepa sahaja dengan lantai simen, ia bergantung pada keperluan dan kehendak ruang tersebut.
Halaman belakang memberi lebih privacy buat anda sekeluarga. Berikut merupakan sembilan ilham membangunkan halaman belakang agar tampil menarik dan praktikal untuk gaya hidup anda sekeluarga.
1. Taman Hijau
Tidak kira sama ada kecil atau besar keluasan laman tersebut, anda boleh mencipta sebuah taman cantik dan segar di belakang rumah.
Selain menanam pokok berdaun hijau, anda juga boleh menanam pokok berbunga harum atau tidak di dalam pasu dan serikan juga dengan tanaman lain yang berukuran lebih besar agar penampilan taman tidak membosankan. Anda juga boleh meletakkan bangku atau perabot taman untuk menghidupkan lagi suasana.
2. Kebun
Tidak ada aturan tertentu untuk membuat kebun di belakang rumah. Anda bebas menanam apa juga tanaman seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan herba.
Selitkan juga pokok hiasan agar persekitaran kebun lebih meriah. Bereksperimenlah mengikut kesukaan hati dan ajak anggota keluarga supaya ikut sama menanam sayur atau pokok kesukaan mereka.
3. Unsur Air
Kehadiran unsur air seperti kolam buatan bersekali air pancut di halaman belakang menghidupkan lagi suasananya.
Bunyi gemercik air membuatkan perasaan tenang dan fikiran lapang. Kebiasaannya kolam ikan, kolam air terjun atau air pancut mini menjadi pilihan. Selain itu, tambahkan beberapa perhiasan seperti batu dan patung comel sebagai pelengkap.
4. Ruang Santai
Anda boleh menempatkan bangku, kerusi malas, meja lipat, hammock, buaian rotan dan sebagainya untuk mencipta ruang santai yang sempurna dan selesa di halaman belakang rumah.
Ia memberi peluang anda bersantai dengan tenang sambil membaca, mendengar ipod atau melelapkan mata seketika sebelum menyambung kembali kerja rumah atau kerja dapur yang belum selesai. Jika mempunyai kelapangan, manfaatkan sepenuhnya ruang santai ini sebagai sudut pilihan merehatkan diri.
5. Ruang Makan
Jika anda mempunyai reka bentuk ruang luaran menarik, maka sebuah ruang makan nyaman dan romantis boleh diwujudkan untuk kegunaan anda sekeluarga.
Sama ada membina tembok pagar tinggi agar ruang menjadi lebih privacy atau memasang pagar biasa yang membolehkan anda menikmati persekitaran luar lebih santai, acara makan lebih bermakna dan mengundang pesona tersendiri apabila dilakukan di halaman belakang.
6. Tempat Bermain
Benarkan anak bermain di luar rumah seperti anda pernah lakukan sewaktu kecil. Begitu pun keselamatan anak perlu diawasi kerana mereka terdedah kepada persekitaran yang kurang selamat sejak akhir-akhir ini. Justeru itu, langkah mudah dan ideal adalah merealisasikan tempat bermain yang kondusif dan selamat.
Lakukan transformasi pada halaman belakang rumah sebagai tempat mereka bermain. Sediakan persekitaran ceria, kreatif dan menghiburkan untuk menarik perhatian anak. Dengan ini, anda boleh memantau pergerakan mereka dari dekat melalui tingkap di ruang dapur sambil memasak.
Paling penting, sediakan stor untuk menyimpan perkakas dan barang permainan. Tempatkan juga beberapa pokok hiasan di dalam pasu. Selain bebas beriadah, persekitaran hijau dapat membantu pertumbuhan dan perkembangan otak yang sihat.
Faktor lain perlu diambil kira ialah taman permainan di belakang rumah tidak boleh terdedah pada peralatan merbahaya seperti alatan tajam, racun serangga, baja kimia dan pencemaran bunyi atau bau. Sebaik-baiknya kedudukan ruang mendapat sinaran matahari waktu pagi.
7. Ruang Dapur Terbuka
Jika anda suka mengadakan jamuan dan mengajak teman berkumpul di rumah, tentu lebih menyenangkan jika mempunyai ruang dapur terbuka di halaman belakang. Jika hendak mewujudkan ruang dapur sebegini, halaman belakang tidak perlu dikelilingi tembok tinggi kerana anda memerlukan pengudaraan semula jadi sewaktu memasak.
Turap sebahagian kawasan bertanah dengan jubin heavy-duty atau sekadar melepa simen render supaya mudah menempatkan dapur masak dan senang hendak membersihkannya. Bina pondok ringkas atau pergola berbumbung bersekali tempat menyimpan perkakas memasak khususnya peralatan memanggang atau barbeku.
8. Ruang Bersenam
Daripada mengorbankan salah satu bilik atau ruang keluarga sebagai bilik bersenam, lebih baik anda pertimbangkan halaman di belakang rumah. Bina wakaf atau pergola berbumbung yang berlantaikan jubin bertekstur. Ia bertujuan melindungi peralatan bersenam daripada terkena hujan atau kepanasan matahari melampau.
Susun pokok hijau di dalam pasu untuk meredupkan kawasan selain membantu membebaskan lebih oksigen ke persekitaran sewaktu anda bersenam.
9. Kolam Renang
Idea membuat kolam renang di belakang rumah sering menjadi pilihan pemilik rumah jenis banglo. Kos pembinaannya tinggi dan prosesnya rumit. Kini banyak syarikat menawarkan pembinaan kolam renang dengan kaedah bijak dan harga berpatutan seperti Piscines Desjoyaux.
Kehadiran kolam renang tentu sahaja menjadi wahana hiburan buat ahli keluarga terutama anak dan tetamu. Perkara penting perlu diberi perhatian ialah ketinggian tembok atau pagar mestilah menghalang pemandangan terus dari rumah jiran atau jalan raya ke kolam renang demi menjaga privacy anda sekeluarga.
Pantau persekitaran dan kebersihan kolam. Menggunakan kolam renang Piscines Desjoyaux sangat menjimatkan kerana ia sentiasa memastikan air kolam dalam keadaan bersih, selamat dan tidak mengundang masalah kesihatan.
Idea : Anjung Seri
semangat aje lebih. tapi bila tanam poko, ianya nailk melidi eje.....itu yang frust tu.
ReplyDelete(alasan......)
Terima kasih Mak Ieteng. Ni sebenarnya nak bagi semangat pada diri sendiri. :D
Delete